14 May 2012

Lamaran Perjuangan

Dengan namaMu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw juga puji-pujian ke hadrat Allah swt atas nikmat dan limpahan kurniaNya setiap saat dan ketika.

"Sesungguhnya Syurga itu dikelilingi perkara-perkara yang tak diingini manakala neraka pula diligkungi perkara-perkara yang menarik syahwat."

Jalan ini merupakan jalan yang tak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup. Juga tak sanggup dilalui oleh mereka yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, yang sempit dada dan tak memiliki kekuatan, yang tak sabar meghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan harta benda dan wang ringgit, tak sanggup juga dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja...".

Dan jalan inilah jalan yang telah saya pilih.

Yakni Jalan Dakwah, yang panjang dan jauh, penuh dengan kesusahan dan kepayahan. Namun saya sangat yakin, di hujungnya, penuh kemanisan :)

Hampir 3 hari bertapa di rumah, tak punya idea nak isi masa. At last, teringat taklifan yang pernah ditaklifkan dulu. Antaranya ialah membaca buku haraki sekurang-kurangnya 15 minit sehari. Bagi menambah thaqafah. Alhamdulillah, berjaya memulakan pembacaan. Pengakhiran, belum tentu.

Sejak diberi kesedaran oleh Allah tentang pentingnya cinta Allah dan Rasul itu melebihi yang lainnya, makin pelbagai corak 'tanda kasih' yang datang dariNya. Bermula dengan diri sendiri, keluarga juga sahabat-sahabat terdekat.

Tentang lamaran perjuangan vs lamaran manusia.

Saya malu nak bagi contoh atau pengalaman sendiri. Takut kelak membuka aib sendiri. Lebih teruk kalau aib orang lain yang terbuka. Tapi saya juga tak pandai bermadah pujangga mahupun mereka cerita seperti cerpen dan seumpamanya. Jadi, saya memilih satu-satunya jalan yang ada.

Apa yang saya amati, fatrah jiwa remaja-remaji zaman kini adalah cinta, kahwin muda dan yang sewaktu dengannya. Saya bukan mahu mengeji, apatah lagi menghina perasaan suci mereka. Kerana saya juga pernah berada di tempat mereka. Dan andai saya ditukarkan ke tempat mereka, saya tak pasti saya juga akan bersikap seperti mereka atau lebih teruk lagi. Na'uzubillah.

Namun di sini, saya tak mahu menghuraikan panjang lebar tentang apa yang dialami oleh mereka. Cuma saya menginginkan sedikit pengisian/ perkongsian buat diri saya terutamanya.

Berbalik kepada lamaran.

Sesungguhnya saya amat tidak tahu bagaimana lagi cara untuk berterima kasih dan bersyukur kepada Allah yang telah membuka mata dan hati saya dalam menerima lamaran perjuangan Rasulullah saw. Pernah saya bersungguh untuk futur dari medan perjuangan, lantas Allah hantar seseorang bagi membetulkan haluan. Seseorang yang sangat saya hormati. Bahkan setiap yang mengenalinya juga. Dialah ketua kami (muslimat).

Lantas saya perbaiki apa yang silap dan salah yang saya lakukan sebelum ini. Sedaya upaya cuba menyumbang walau setitik peluh kepada Islam yang saya cintai. Walau ujian dan cubaan silih berganti menjengah, walau terkadang saya hampir rebah, alhamdulillah keyakinan padaNya sering membangkit saya semula untuk kembali gagah.

Dalam keadaan saya yang masih terkapai-kapai mencari cinta hakiki, sapaan salam dari hamba-hambaNya yang saya akui kesolehan mereka juga tak lepas dari menjengah. Ingin menolak bulat-bulat, tapi saya tak jumpa di mana salah mereka. Lalu saya pasrah dengan jawapan istikharah. Kerana saya yakin aturanNya tak pernah salah.

Lagipun memang kehendak saya sendiri, untuk mendapat pasangan yang tidak pernah saya kenali. Hanya agama yang menjadi taruhan. Nah, bila Allah dah tunaikan, apalagi yang mahu saya pertikaikan?

Namun, dalam diam, saya khuatir. Andai sapaan yang disambut itu boleh mengganggu cinta hati saya yang baru mula berputik. Cinta kepada Pencipta juga kekasihNya serta perjuangan suci baginda. Terkadang hati dijentik keraguan oleh syitan laknatullah. Membuatkan saya ragu-ragu dengan jawapan yang telah saya sendiri berikan. Adakah benar apa yang aku lakukan? Adakah ini yang aku inginkan? Lantas hati kembali bertindak waras, bahawa kebergantungan terhadap Allah itulah adalah tunjang kebahagiaan.

Dan dalam keterpaksaan, perlu saya tegaskan. Jalan dakwah dan perjuangan yang telah saya pilih di awalnya, tidak boleh dipisahkan. Benar, saya tidak pasti adakah saya akan terus thabat di jalan yang penuh mehnah dan ranjau ini di masa hadapan. Tapi inilah syarat utama saya kepada si dia yang masih menjadi rahsia Allah.

Terpaksa saya tolak andai tidak sefikrah.
Terpaksa saya tolak andai tidak betah dengan usrah dan dakwah.
Terpaksa saya tolak andai tidak tegal dengan dakwah lapangan.
Terpaksa saya tolak andai cinta Allah dan Rasulullah serta perjuangan baginda tidak berada di tempat teratas.

Semua terpaksa saya tolak mentah-mentah.

Bagi saya itu adalah satu pengorbanan. Kerana hakikatnya, jika diberi pilihan, hanya satu jawapan yang perlu diberikan.

Asif jiddan.

Kerana andai diberi pilihan untuk memilih antara cinta manusia dan cinta dakwah, saya akan memilih cinta kepada jalan dakwah. Kerana ia adalah sunnah. Sunnah yang semakin lama semakin dilupa orang. Hakikatnya Syurga adalah untuk semua, bukan individu. Andai hidup kita hanya memenuhi keperluan kita, bagaimana ingin memasuki Syurga bersama?

Jawapan saya dah bulat. Pilihan pertama saya adalah Allah, Rasulullah dan perjuangan. Keluarga jatuh nombor 2. Dan kalau tak setuju dengan urutan saya, anda tahu apa jawapannya.

" Sesungguhnya cinta kepada manusia akan mati. Dan hanya cinta kepada Allah yang akan kekal abadi. "

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...