22 May 2012

Istiqamah: Sampai bila?

Dengan namaMu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allahumma solli 'ala sayidina Muhammad, wa a'la aalihi wasihbihi wasallam.

* * * * * * * * * *     * * * * * * * * * *

Jam hampir menunjukkan pukul 9 pagi.
Tak ada sesiapa di rumah.
Mak, adik, dan abang, semua keluar bekerja. Yang bongsu, ke sekolah pastinya.

Tak punya tajuk spesifik untuk dihuraikan hari ini, random typing sahaja.
Apa yang terlintas dalam kepala, itulah yang bakal aku tulis.

Teringat setahun yang lalu, di saat aku masih berkira-kira sama ada mahu berpurdah ataupun tidak, aku tercari-cari kekuatan dan semangat itu.
Di mana-mana sahaja, dan dengan sesiapa sahaja yang aku rasa boleh memberi aku kekuatan.

Kalau dulu aku cukup excited saat ternampak muslimah berpurdah, tak kiralah di mana pun; di alam maya mahupun di kaki lima,tapi sekarang boleh kukawal perasaan itu.

Alhamdulillah, kini ramai sahabat aku yang berpurdah. Sama ada sahabat dari universiti, mahupun di luar.
Aku gembira.
Namun dalam hati tetap ada gelisah.

Sampai bilakah kami bisa bertahan?
Sampai bila kami bisa istiqamah?

Allahu rabbi.
Hanya Dia yang Mengetahui.

Terkadang aku selalu memepersoal diri sendiri, apakah yang aku lakukan ini akan mendatangkan aib buat sahabat niqobis yang lain?
Apakah mereka akan merasa malu bila aku buat begitu dan begini?

Benar.
Pandangan Allah lebih utama.
Tapi andai sikap aku sendiri yang mendatangkan rasa tidak senang itu, bolehkah aku hidup dengan tenang?

Aku masih bergelar pelajar.
InsyaAllah untuk jangkamasa 4 tahun lagi.
Aku selalu terfikir, apakah aku akan masih seperti ini dalam 5 tahun akan datang?
Apakah aku masih begini setelah berumah tangga nanti?
Apakah aku akan masih begini setelah beranak-pinak kelak?

Allah Allah.
Sesungguhnya hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Semoga Allah memberi pasangan hidup yang bisa memberi kekuatan kepada kami untuk terus kuat dan istiqamah.

Itu cerita purdah.

Kali ini cerita dakwah.

Sampai bila aku akan terus berdakwah?
Memang kukira saat ini semangat juang dan dakwah itu masih menebal.
Demi Islam. Demi ummat Nabi Muhammad saw. Demi kesejahteraan kami semua.

Tapi sampai bila?

Aku tak pernah berhenti berdo'a agar hatiku tetap di atas jalan dakwah ini.
Memang susah. Memang payah.
Memang banyak ranjau dan mehnah.
Jauh dan penat.
Harus berkorban. Bukan hanya tenaga. Tetapi masa, harta dan juga keseronokan.

Allah.

Kalau nikmat perjuangan itu dirasai, takkan terasa pun pengorbanan yang kecil itu.
Sungguh.
Aku jadi terbayangkan apa yang perlu dilalui oleh Rasululah saw dan para sahabat dalam memperjuangkan Islam dan menyebar luaskan dakwah.
Aku rasa tak setanding langsung dengan apa yang aku lalui.

Jadi kenapa kini aku harus berhenti?

Tak semua yang mengerti dan memahami.

'Mengapa seroang muslimah perlu menonjol diri?'

Bayangkan, semua muslimah di muka bumi ini hanya memencil diri di rumah sendiri. Siapa lagi yang akan menjadi sayap kiri buat pejuang muslimin?

Benarkah tempat seorang muslimah itu hanya di rumah?

Aku bukan ustazah mahupun hafizah yang mampu menungkas setiap bidasan dengan dalil.
Tapi aku pernah dihidangkan kisah muslimat di zaman para sahabat yang turut sama ke medan perang.
Aku yakin itu.

Apakah kerana waqi' yang berbeza?

Atau,

mungkin kerana KITA BERBEZA?

Ya.

Kita berbeza.
Kau dan aku berbeza.
Aku taat dan wala' pada ketua yang berbeza.
Dan kau juga.

Jadi apa yang kita fahami dan apa yang kita lalui adalah berbeza.

Andai pilihan engkau adalah seorang suri rumah yang bisa berbakti kepadamu di rumah sepanjang masa, maka ketahuilah, semestinya itu bukan aku.

Jadi yang aku perlukan sebagai pendampingku adalah seorang mujahid yang menginginkan aku sebagai isteri kedua dan sekaligus merupakan sayap kiri perjuangannya. Dan bukan yang menginginkan aku sebagai isteri bagi melahir dan mendidik zuriat semata-mata.

Hakikatnya, aku bukan hanya ingin menjadi isteri solehah di rumah. Aku juga ingin melahirkan pewaris pejuang agama dan aku juga ingin menjadi mujahidah fi sabilillah!

Ketahuilah, dan fahamilah, bahawa KITA BERBEZA.

Dengan jalan ini, insyaAllah aku bisa istiqamah. Andai pendampingku kelak juga bermatlamatkan tujuan yang sama.

Dan ketahuilah dan menngertilah, aku lebih rela memilih dakwah dari mengorbankannya.

15 May 2012

Terpaksa memilih.

Dengan namaMu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

"Assalamu'alaikum, ni Humaira ke?"

"Wa'alaikumussalam wrh. A'ah ni Humaira. Em siapa ni ye?"

"Ni Kak Aisyah. Awak kenal tak?"

"Em kenal kenal. Kenapa kak?"

Lebih satu jam menunggu, aku mendapat mesej seterusnya dari ukhti yang sering kedengaran namanya itu kerana dia antara pelajar tahun pertama yang nikah muda.

"Akak nak tanya, awak dah berpunya atau dah bertunang?"

"Em, insyaAllah belum kak. Kenapa ye kak? Akak ni buat saya takut je". Sambil membelek-belek cincin di jari manis, aku memberanikan diri memberi jawapan.

Sambil mengingatkan kembali peristiwa beberapa tahun lepas, di saat aku baru sahaja melangkahkan kaki ke alam universiti. Aku pernah juga dilamar oleh seorang muslimin. Buat pertama kalinya, dan tanpa orang tengah.

Hatiku pernah dipagut resah, kerana memikirkan cara yang 'kurang syar'ie' yang diambil oleh muslimin tersebut. Namun bila memikirkan diriku juga tak sempurna, terus dianggap itu sebagai satu kelemahan kecil dari diri seorang manusia yang tidak sempurna.

Dari segi luarannya, tiada apa yang kurang di mataku. Agamanya insyaAllah terjamin. Bahkan namanya sering menjadi sebutan dalam kalangan muslimat. Kami tak pernah bersua secara formal, semuanya kebetulan. Berbual di telefon juga tak pernah. Berjumpa jauh sekali.

Pernah diusul supaya mengkhabarkan tentang dirinnya kepada kedua ibu bapa, namun seperti yang dijangka, ummi dan abi menolak dengan alasan aku baru menjejak alam universiti. Masih terlalu awal untuk memikirkan soal ini. Aku terima dengan pasrah. Hakikatnya, aku juga masih baru dalam hal-hal seperti ini.

"Ada sorang muslimin nak taqdim humaira. Humaira dah bersedia?"

Aku terkelu seketika. Cuma seketika. Kerana sebelum ini aku pernah mengalamai perasaan itu. Ini bukan kali pertama. Aku ligat memikirkan jawapan yang sesuai.

"Allah kak. Asif kak. Saya tak pernah ditaqdim sebelum ni. Kalau saya minta masa boleh?"

"Takpe. Humaira istikharah dulu ye. Nanti dah dapat jawapan, beritahu akak."

"Ok. Syukran kak."

Memang aku tak tahu apa itu taqdim. Pernah aku dengar, tapi tak pernah mengerti. Lantas aku mendaki anak tangga mencari sahabat yang juga pendengar setiaku.

"Kau tahu tak, ada muslimin nak taqdim aku."

"Ouh ye ke?? Seronoknya! Untunglaaa ramai orang nak..."

"Apa yang untungnya? Susah nak buat keputusan. Masing-masing baik. Tak sampai hati aku."

"Apa susahnya? Buatlah istikharah."

"Memanglah aku akan buat istikharah, tapi sementara tunggu jawapan dari Allah, mesti hati aku gundah gulana."

Aku tak faham. Ini bukan kali pertama aku dengar jawapan sebegitu. Aku pelik sekali, mengapa seorang msulimat yang mahu ditaqdim oleh ramai muslimin itu dikira 'bertuah' atau 'beruntung'. Sedangkan hakikatnya, pasti akan ada hati yang akan dikecewakan.

Istikharah.

Kali ni aku buat hampir sepenuh hati. Sebelum ni aku hanya buat istikharah separuh hati, kerana takut akan jawapan yang bakal aku terima. Tapi tidak lagi kali ini. Ini kisah hidup dan mati. Kisah yang melibatkan lebih dari satu hati.

Istikharah, dan istikharah.

Dalam masa yang sama, aku juga turut bertanya kemusykilanku kepada sang murobbi tercinta.

"Taqdim adalah satu proses sebelum pertunangan. Maknanya seseorang itu boleh ditaqdim oleh ramai orang. Tapi hanya boleh bertunang dengan seorang sahaja. Bertunang itu tak digalakkan lama-lama. Kerana syaitan akan ambil kesempatan untuk cucuk jarum. Sebab itu ada yang bertunang tapi putus di tengah jalan."

Na'uzubillah.

Aku dan sahabatku khusyuk mendengar.

"Dan bertunang itu digalakkan ada tanda. Tanda itu pula tak boleh berupa makanan, buku, dan sebagainya. Ia perlu dinampak orang. Seperti adat kita di Malaysia adalah cincin belah rotan. Jadi jangan main-main dengan cincin belah rotan ni. Takut ada orang nak 'masuk line', tapi bila lihat enti pakai cincin tu, terus tak jadi. Kan dah melepas."

Kami ketawa kecil. Sambil bertukar tamparan manja.

Aku bertanya, bagaimana jika aku menerima taqdim seseorang, namun sampai satu masa, hatiku berubah.

"Sebab itu walaupun jawapannya positif (setuju), seeloknya jawapan yang diberi ialah, 'Ana terima taqdim enta. Tapi ana tak jamin hati ana akan terus positif. Dan ana juga akan redha andai enta berubah hati'. Dalam erti kata lain, masing-masing perlu bersedia untuk dikecewakan.

Ok. Aku dah faham.

Dan setelah aku beristikharah, hatiku berat untuk menerima perlakuan muslimin yang terdahulu. Lalu aku berikan jawapan yang sama yang ustaz usulkan.

"Kak, saya terima taqdim ustaz. Tapi saya tak jamin jawapan saya akan terus positif. Dan saya juga akan bersedia untuk redha andai kata hati ustaz berubah atau punya pilihan lain satu masa nanti. Tapi insyaAllah, saya yakin, andai ini yang terbaik, Allah pasti akan permudahkan jalannya."

Hakikatnya, aku tak mengenali siapa muslimin itu. Pernah aku dengar namanya, tapi tak kupasti siapa gerangannya. Entah kenapa, hatiku beria-ia mengatakan 'ya'.

Pernah beberapa ketika, aku meragui jawapan yang aku berikan. Tapi aku pasakkan kembali keyakinan, bahawa andai itu yang terbaik, pasti Allah akan permudahkan jalan. Hakikatnya, aku mengerti, bahawa apa yang aku sedang lalui ini, adalah salah satu bentuk ujian keteguhan iman. Dan ini barulah permulaan jalan kehidupan, bukan pengakhiran.

* * * * * * * * * *     * * * * * * * * * *

Fenomena di atas, acapkali berlaku. Lebih-lebih lagi bagi muslimat solehah yang sering menjadi rebutan si soleh (confirmlah bukan saya kan ~ ~).

Ini kalau banyak sangat pilihan. Kalau yang tak ada pilihan langsung? Lain dah ceghitanya... huhu~

Andai saya juga terpaksa lalui sebagaimana yang dilalui mereka, semestinya saya juga jadi serba salah. Terpaksa memilih antara dua. Tiga, empat atau lebih (ok jangan perasan). Yang pastinya, sangat perit kalau terpaksa melukakan hati ramai pihak. Kerana hakikatnya, wanita hanya boleh ada seorang suami sahaja ^^

Harapnya saya tak perlu lalui semua itu. Semoga Allah permudahkan jalan kita. Yang pastinya, saya masih belum bersedia. Kerana saya masih mahu berjinak-jinak dengan medan perjuangan. Lainlah kalau bakal imam saya juga seorang mujahid... Boleh saya jadi sayap kiri perjuangan beliau. Dan ini juga antara syarat saya... Terlalu demand? Terpulang~~~ wink2 ^^

Ya Allah, Kau kuatkanlah hati mereka. Bantulah mereka dalam membuat pilihan yang terbaik untuk diri mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang membolak-balikkan hati manusia. Dan Engkau juga yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaMu.

14 May 2012

Lamaran Perjuangan

Dengan namaMu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw juga puji-pujian ke hadrat Allah swt atas nikmat dan limpahan kurniaNya setiap saat dan ketika.

"Sesungguhnya Syurga itu dikelilingi perkara-perkara yang tak diingini manakala neraka pula diligkungi perkara-perkara yang menarik syahwat."

Jalan ini merupakan jalan yang tak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup. Juga tak sanggup dilalui oleh mereka yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, yang sempit dada dan tak memiliki kekuatan, yang tak sabar meghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan harta benda dan wang ringgit, tak sanggup juga dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja...".

Dan jalan inilah jalan yang telah saya pilih.

Yakni Jalan Dakwah, yang panjang dan jauh, penuh dengan kesusahan dan kepayahan. Namun saya sangat yakin, di hujungnya, penuh kemanisan :)

Hampir 3 hari bertapa di rumah, tak punya idea nak isi masa. At last, teringat taklifan yang pernah ditaklifkan dulu. Antaranya ialah membaca buku haraki sekurang-kurangnya 15 minit sehari. Bagi menambah thaqafah. Alhamdulillah, berjaya memulakan pembacaan. Pengakhiran, belum tentu.

Sejak diberi kesedaran oleh Allah tentang pentingnya cinta Allah dan Rasul itu melebihi yang lainnya, makin pelbagai corak 'tanda kasih' yang datang dariNya. Bermula dengan diri sendiri, keluarga juga sahabat-sahabat terdekat.

Tentang lamaran perjuangan vs lamaran manusia.

Saya malu nak bagi contoh atau pengalaman sendiri. Takut kelak membuka aib sendiri. Lebih teruk kalau aib orang lain yang terbuka. Tapi saya juga tak pandai bermadah pujangga mahupun mereka cerita seperti cerpen dan seumpamanya. Jadi, saya memilih satu-satunya jalan yang ada.

Apa yang saya amati, fatrah jiwa remaja-remaji zaman kini adalah cinta, kahwin muda dan yang sewaktu dengannya. Saya bukan mahu mengeji, apatah lagi menghina perasaan suci mereka. Kerana saya juga pernah berada di tempat mereka. Dan andai saya ditukarkan ke tempat mereka, saya tak pasti saya juga akan bersikap seperti mereka atau lebih teruk lagi. Na'uzubillah.

Namun di sini, saya tak mahu menghuraikan panjang lebar tentang apa yang dialami oleh mereka. Cuma saya menginginkan sedikit pengisian/ perkongsian buat diri saya terutamanya.

Berbalik kepada lamaran.

Sesungguhnya saya amat tidak tahu bagaimana lagi cara untuk berterima kasih dan bersyukur kepada Allah yang telah membuka mata dan hati saya dalam menerima lamaran perjuangan Rasulullah saw. Pernah saya bersungguh untuk futur dari medan perjuangan, lantas Allah hantar seseorang bagi membetulkan haluan. Seseorang yang sangat saya hormati. Bahkan setiap yang mengenalinya juga. Dialah ketua kami (muslimat).

Lantas saya perbaiki apa yang silap dan salah yang saya lakukan sebelum ini. Sedaya upaya cuba menyumbang walau setitik peluh kepada Islam yang saya cintai. Walau ujian dan cubaan silih berganti menjengah, walau terkadang saya hampir rebah, alhamdulillah keyakinan padaNya sering membangkit saya semula untuk kembali gagah.

Dalam keadaan saya yang masih terkapai-kapai mencari cinta hakiki, sapaan salam dari hamba-hambaNya yang saya akui kesolehan mereka juga tak lepas dari menjengah. Ingin menolak bulat-bulat, tapi saya tak jumpa di mana salah mereka. Lalu saya pasrah dengan jawapan istikharah. Kerana saya yakin aturanNya tak pernah salah.

Lagipun memang kehendak saya sendiri, untuk mendapat pasangan yang tidak pernah saya kenali. Hanya agama yang menjadi taruhan. Nah, bila Allah dah tunaikan, apalagi yang mahu saya pertikaikan?

Namun, dalam diam, saya khuatir. Andai sapaan yang disambut itu boleh mengganggu cinta hati saya yang baru mula berputik. Cinta kepada Pencipta juga kekasihNya serta perjuangan suci baginda. Terkadang hati dijentik keraguan oleh syitan laknatullah. Membuatkan saya ragu-ragu dengan jawapan yang telah saya sendiri berikan. Adakah benar apa yang aku lakukan? Adakah ini yang aku inginkan? Lantas hati kembali bertindak waras, bahawa kebergantungan terhadap Allah itulah adalah tunjang kebahagiaan.

Dan dalam keterpaksaan, perlu saya tegaskan. Jalan dakwah dan perjuangan yang telah saya pilih di awalnya, tidak boleh dipisahkan. Benar, saya tidak pasti adakah saya akan terus thabat di jalan yang penuh mehnah dan ranjau ini di masa hadapan. Tapi inilah syarat utama saya kepada si dia yang masih menjadi rahsia Allah.

Terpaksa saya tolak andai tidak sefikrah.
Terpaksa saya tolak andai tidak betah dengan usrah dan dakwah.
Terpaksa saya tolak andai tidak tegal dengan dakwah lapangan.
Terpaksa saya tolak andai cinta Allah dan Rasulullah serta perjuangan baginda tidak berada di tempat teratas.

Semua terpaksa saya tolak mentah-mentah.

Bagi saya itu adalah satu pengorbanan. Kerana hakikatnya, jika diberi pilihan, hanya satu jawapan yang perlu diberikan.

Asif jiddan.

Kerana andai diberi pilihan untuk memilih antara cinta manusia dan cinta dakwah, saya akan memilih cinta kepada jalan dakwah. Kerana ia adalah sunnah. Sunnah yang semakin lama semakin dilupa orang. Hakikatnya Syurga adalah untuk semua, bukan individu. Andai hidup kita hanya memenuhi keperluan kita, bagaimana ingin memasuki Syurga bersama?

Jawapan saya dah bulat. Pilihan pertama saya adalah Allah, Rasulullah dan perjuangan. Keluarga jatuh nombor 2. Dan kalau tak setuju dengan urutan saya, anda tahu apa jawapannya.

" Sesungguhnya cinta kepada manusia akan mati. Dan hanya cinta kepada Allah yang akan kekal abadi. "

09 May 2012

Setahun berlalu.

Dengan namaMu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, wa syukurillah :)

Baru lepas tengok rancangan di tv Al-Hijrah tadi; Fattabiouni. Tentang senyum. Siapa yang paling banyak senyum?

Rasulullah saw.

Jadi saya nak tiru baginda.

^________________^

Satu ayat yang saya ingat, dan baru je post di fb tadi;

"Senyum bukan adat. Senyum adalah ibadat."

Dalam fatrah keadaan Malaysia ni, susah kita nak senyum kan? Masalah sosial, politik mahupun masalah dalaman iaitu akademik, hati dan iman.

Kali ni nak post santai-santai je. Mesti dah bosan kan dengar celoteh pasal cinta? Saya pun tak larat nak tulis banyak-banyak pasal cinta ^_~

Setahun berlalu.

Saya cuma terimbau kembali saat mula-mula memakai purdah dahulu. Dah setahun lebih dah. Alhamdulillah. :)

Perasaan? Tak tergambar.

Kalau dulu saya punyalah excited meng-add niqobis sana sini, kenal pun tak. Cuma rasa senang bila add mereka.

Tapi sekarang saya dah jadi sebaris dengan mereka. Di-add orang. Ditanya itu ini. Saya jadi seronok. Bukan bangga. Tapi seronok bila dapat beri jawapan pada mereka yang memerlukan. Sebabnya saya sendiri dahulu jadi penasaran bila lihat niqobis lain. Jadi saya jadi faham dengan perasaan mereka yang bertanya.

Rasa ingin tahu.

Itulah saya satu ketika dahulu.

Jadi sekarag takkan saya nak sombong bila ada yang bertanya sesuatu yang tak rugi pun kalau saya beritahu kan? ^_______^

Kadang-kadang rasa macam artis pulak~ (.......)

Comel je bila saya bercerita, reaksi mereka yang mendengar selalunya "ooooooo....." sambil bibir membulat membentuk huruf 'o'. ^___^

Beza sebelum pakai dan selepas pakai niqob ni, bila terserempak dengan mereka yang pakai niqob saya dah dapat detect dah sama ada mereka senyum atau tak, senyum sikit atau senyum banyak. Lagi satu apa yang saya dapat detect adalah bila niqob mereka senget~~~~ Rasa macam nak tolong betulkan je... Tapi nanti macam pelik plak kan... ^___^

Yang kurang best tu bila kita dilabel orang sebagai 'wanita solehah' atau 'thiqah' atau alim lagi suci. Saya paling tak gemar part ni lah. Silakan kalau nak label niqobis lain sebagai alim, wara', muslimah mukminah dan sebagainya tapi bukan saya~~~

Kerana saya masih lagi bertatih ke arah itu.

Alhamdulillah bila berniqob ni, saya lebih banyak ingatkan diri saya, depan kawan-kawan saya. Supaya kelak di masa depan mereka juga tak segan nak tegur salah silap saya....

Kalau saya merepek tak tentu pasal dengan kawan-kawan, ayat saya "hish, hilang thiqah!" Cepat cepat saya perbetulkan balik apa yang tak kena. Memanglah macam tah-hape-hape-tah kan tapi cara untuk seseorang itu back-to-reality adalah pelbagai. Dan ini cara saya. ^______^

Nak dipendekkan cerita, bila dah setahun lebih ni pakai niqob, macam macam karenah saya jumpa. Pernah baru-baru ni di pesta buku di PWTC, ada sorang budak ni (nasib baik kecil lagi) nampak saya, dia cakap kat adik dia "eeee hantu, hantu!" huhu~

Sebenarnya saya tak dengar pun, tapi kawan saya yang perasan. Sebab tu dia sorang je yang ketawa. Saya cakap kat dia, kalau saya dengar adik tu cakap macam tu, boleh saya takut takut kan dia.... Buat bunyi hantu ke~ wuuuuuu~ Ok main main je.

Hmmm... Tak kurang juga yang pandang senget (serong). Saya pernah terdengar sorang encik ni bergurau dengan kawan dia sambil senyum-senyum kat saya (tapi saya tak terpikat pun). Kalau telinga saya tak salah tafsir, perkataan yang saya dengar adalah 'terrorist' dan 'bom'. Rasanya dia baru tengok movie pasal bom-mengebom ni kot....

Pernah juga disalah anggap sebagai mak arab. Selalu je orang melayu kita ni (perempuan terutamanya) yang tiba-tiba speaking english dengan saya (nasib baik tak cakap arab). Di sebalik purdah tu saya senyum je ^_____~

Yang lelaki pulak selalunya jadi gentlemen. Jangan salah tafsir pulak ye. Maksudnya mereka lebih menghormati. Kalau naik bas mereka bagi keutamaan, kalau nak lalu mereka akan beri laluan. Senang jugak kalau macam ni kan? ^_____~

Lagi apa ye?

Rasanya tu je kot untuk kali ni. InsyaAllah kalau ada lagi benda yang saya boleh share di masa akan datang, saya share.

Wassalam.

Baiti Jannati, 0850. ^____^

08 May 2012

Saat terakhir.

Dengan namaMu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allahumma solli 'ala saiyyidina Muhammad wa 'ala alihi wasohbihi wabaariik wasallim.
Subhanallah, walhamdulillah, Allahu Akbar.

Allahu Allah.

Berhenti sejenak. Menghitung dan mengira. Entah berapa lama. Terbiar sepi.

But everything happens for reason. A good one for sure :)

Fatrah exam. Plus laptop yang rosak. Omoo. Rasanya dah cakap pasal benda ni masa post lepas. Hm tu laah. Nampak sangat lama tak update Encik Blog ni.

Alhamdulillah.

InsyaAllah tak lama lagi saya akan bergelar mahasisiwi :)

Pagi tadi adalah paper final exam saya yang terakhir di bumi Pusat Matrikulasi UIA Petaling Jaya. Paper programming. Subject code: IFF1444. Akan saya ingat sampai bila-bila. Malam tadi stay-up sampai 3 pagi lebih kot.

Niat di hati memanglah nak berjaga sepanjang malam. Sebabnya last paper kan :) Konon-kononlah nak berhabis untuk paper terakhir ni. Tapi teringat kata-kata lecturer supaya tidur awal. Tapi bila nak lelap je mata, pusing sana pusing sini 360 darjah, tak boleh tidur jugak. Baru teringat, kami dah telan nescafe petang tadi~

Kesannya sampai lepas exam. Pun tak boleh tidur. Kepala dah penat. Sakit kepala. Tak cukup tidur. Allah Allah. Tapi memandangkan lepas ni cuti panjang, boleh qada balik (pun boleh~)...

Melangkah je keluar dari kelas exam tadi, masing-masing muka ceria do'oh. Senyum bukan sampai ke telinga, tapi sampai ke langit. Termasuklah saya :)

Tapi senyum saya tiba-tiba mati. Saya terfikir, lepas ni apa? Masuk ke UIA Gombak. Dapatkan segulung ijazah. Lepas tu? Dan kalau umur saya pendek daripada itu?

Macam-macam saya fikir.

Yang paling saya khuatir, adalah ke mana saya selepas kehidupan ini.

Saya takut. Saya takut kalau tergolong dalam gologan mereka-mereka yang sibuk berbicara tentang hal dunia.

Bila nak kahwin?
Dah berpunya ke belum?

Cinta itu begitu, cinta itu begini ...
Cinta, cinta, cinta.

Allahu robbi.

Saya tak tahu kenapa. Tapi saya jadi lelah bila saja sebut tentang cinta.

Yang pasti cinta Allah dan Rasul itu bukan saja diungkap malah perlu pada pembuktian juga. Jadi apa ada pada cinta manusia? Bukan saya menidakkan fitrah. Tapi semuanya perlu berpada. Mungkin sebab itu hati jadi tak betah bila online lama-lama di fb.

Memanjang tentang cinta. Yang cakna tentang keadaan Islam sekarang entah berapa. Boleh dikira. Jujur saya katakan, saya lebih senang membaca status tentang apa-apa yang boleh memberi kesedaran akan Islam. Walau saya tak tahu sejauh mana keikhlasan mereka berbicara tentang Islam tetapi sekurangnya mereka boleh menambah bekalan dengan cara membuat orang lain tersedar melalui status-status mereka.

Dari pandangan peribadi saya, mereka yang bercakap tentang cinta ini akan turut menarik orang lain yang membaca status mereka agar turut sama berfikir dan berbicara tentang cinta.

Hmm.

Im not really into it. Minta maaf sahabat-sahabat. Hati saya dah dimiliki.

Dimiliki oleh Allah swt, baginda Rasulullah saw, jalan dakwah dan perjuangannya.

Macam poyo tak awak rasa?

Sekurang-kurangnya saya punya niat untuk berubah arah. Mengubah haluan cinta saya. Dari bercerita tentang duniawi kepada ukhrawi.

Sebab tu saya takut. Sebab saya tak tahu sampai bila Allah akan kekalkan kesedaran ini dalam diri saya. Adakah hanya separuh jalan kehidupan, atau sepanjang hayat selagi nyawa dikandung badan?

Jadi sekarang saya banyak pagarkan diri saya, supaya berjaga-jaga sepanjang masa. Jangan sampai cinta saya dirampas sesiapa. Jangan sampai saya alpa dan leka kembali dengan dunia sementara. Kerana saya tak tahu bila saat terakhir saya.

Anda juga.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...