03 January 2012

Siapakah aku sebenarnya?

Dengan namaMu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Saat berblog walking tadi, terjumpa satu kisah. Lebih kurang serupa dengan kisah saya. Maaf, kali ni tiada lagi penggunaan ana-enti-entum. Saya rasa saya lebih selesa bersaya-awak. Entah kenapa. Semoga semuanya datang dariNya.

Saya nak ubah sikit tajuknya.

AKUKAH NILA YANG MEROSAKKAN ITU?


Dia seorang lelaki. Tua tiga tahun daripada saya. Membahasakan dirinya sebagai Abe. Dia lelaki paling peramah yang pernah saya jumpa di universiti ini. Ada saja topik yang mahu dibualkan dalam kumpulan. Perjalanan sejauh 5 km ini tidak terasa penatnya apabila dia bercerita. Segala topik, tazkirah, zaman sekolah, Kisah Nabi dan tiba-tiba kisah wanita idamannya pula.

Saat lelaki lain hormat dan tunduk menjaga pandangan ketika bercakap dengan saya, dia paling selamba. Berbual dan menegur saya seperti bertahun kenal. Sangat-sangat peramah dengan siapa-siapa pun. Bukan dengan saya seorang saja. Agak mengalami kejutan budaya saya dibuatnya.

Saya masih ingat lagi perbualan kami semasa perjalanan malam dalam kumpulan untuk Program Kembara Malam.
“Nak tahu tak perempuan yang paling Abe tak suka?’’tawarnya.
“Hah, ceritalah.’’sahabat lain memprovok.
“Minta maaf cakap tapi ini lahir daripada hati yang jujur. Sebenarnya, Abe paling tak suka perempuan yang pakai tudung labuh.’’

Saya tersengih. Adakah penyataan itu ditujukan kepada saya? Rasa-rasanya antara ramai-ramai di situ, tudung saya yang sedikit lebar.

“Kenapa?’’tanya saya.Dia mengalihkan perhatiannya kepada saya pula. Saya bersangka baik. Saya tahu. Bukan niatnya mahu merendah-rendahkan perempuan seperti saya. Dia sekadar mahu berkongsi isi hati.

“Perempuan pakai tudung labuh macam bagus. Padahal poyo je.”tuturnya selamba. Saya tersenyum. Kehilangan kata-kata. Dia benar, saya sendiri sedar ketakbaikan diri. Harapkan tudung saja labuh, tapi perangai saya. Allah, Tuhan saja yang tahu.

“Tapi, bukan semua macam tu. Ramai je yang pakai tudung labuh tapi baik.”rakan lain menyampuk.

“Abe trauma dengan perempuan pakai tudung labuh. Hipokrit. Perangai tak baik manapun. Ada seorang yang abe kenal. Dia pakai tudung labuh. Siap pakai sarung lengan lagi. Satu hari, dia panggil abe. Ada ke patut bila abe datang dia meluru peluk abe. Seriuslah, abe terkejut. Tak sangka dia buat macam tu.’’

“Abe hensem sangatlah tu.’’usik rakan saya.

“Sejak tu, abe tak suka perempuan tudung labuh. Minta maaflah. Abe tak tahu kenapa. Kalau nak pilih isteri esok, nak cari yang biasa-biasa je.Trauma!’’

Saya tidak memberikan sebarang komen. Tidak menyalahkannya lansung mempunyai perasaan begitu. Kisah hidupnya yang telah mencorakkannya sehingga membuat persepsi begitu. Jikalau saya ditempatnya yang tiba-tiba dipeluk lelaki berjubah dan berkopiah pun agaknya saya trauma.Nau’zubillah min zalik.

Serta-merta saya senyap.

Tiba-tiba saya diterpa bimbang imej tudung labuh yang saya bawa ini membawa fitnah kepada agama saya. Saya takut kerana kekhilafan saya, orang lain bersangka buruk pada perempuan-perempuan baik yang bersusaha menjaga diri di luar sana. Saya gusar, saya ini seperti nila yang merosakkan susu sebelanga. Sukarnya mahu menjadi sebaik-baik perempuan. Susah, kerana Allah pasti menguji kanan dan kiri.

Saya memujuk diri.

Yang salah bukan tudungnya. Bukan bajunya. Bukan sarung lengannya. Bukan stokinnya. Tetapi pemakainya. Dirinya sendiri yang tidak menghayati makna menjadi sebaik-baik perempuan dalaman dan luaran.

Zaman ini. Kaum Hawa diuji dengan pelbagai cara.

Sudah berhijrah melabuhkan tudung, diuji dengan perasaan hati pula. Tak hairanlah kalau ramai perempuan yang bertudung labuh tetapi masih ber-dating dan couple. Itu Allah uji.

Sudah berhijrah melabuhkan tudung diuji dengan perangai mazmumah tidak cantik pula. Tak hairanlah kalau ramai yang bertudung labuh tetapi berperangai kasar dan biadab pada orang tua. Itu Allah uji.

Sudah berhijrah melabuhkan tudung diuji dengan sikap pemalas dan pengotor pula. Tak hairanlah kalau ramai yang bertudung labuh tetapi suka berpeleseran dan tidak pandai menjaga kebersihan. Itu Allah uji.

Untuk diri saya sendiri.

Tidak kira apa jua jenis tudung yang mahu dipakai kita adalah perempuan Muslimah. Seandainya sudah mengaku Muslimah yang Mukminah maka berperangailah selari dengan ajaran agama. Cantik luar dan cantik dalam kerana adat hidup di dunia, orang akan menghakimi kita melalui pemakaian kita dahulu, baru diikuti sikap.

Saya tidak kisah orang mahu menganggap saya seperti apa kerana saya tahu Allah lebih tahu.

Namun, saya tidak sanggup sekiranya imej ini menimbulkan fitnah kepada agama saya. Tolong jangan salahkan perempuan bertudung labuh yang sebenar-benar bermujahadah menjaga diri yang wujud di luar sana kerana perangai buruk dan keterlanjuran saya pada masa lalu, sekarang dan akan datang.

Dalam setandan pisang. Bukan semuanya busuk. Andai yang busuk itu adalah saya, maafkanlah diri ini. Doakanlah saya supaya menjadi baik dan lebih baik.

Islam agama suci. Sempurna. Yang tidak sempurna adalah pengganutnya. Dan saya adalah antaranya. Sedih.

P/S: Aku pernah melalui zaman jahiliyyah. Aku pernah menjadi watak seorang perempuan yang mencemarkan imej agamanya. Maafkan aku yang pernah sesat dahulu, Islam.

* * * * *

Penulis ada menyebut tentang peribahasa setitik nila yang merosakkan susu sebelanga. Saya juga terfikir, saya kah nila setitik itu?

Betullah. Siapa kita sebenarnya, hanya Allah yang lebih tahu dari mereka yang tahu.

Dan memang benar, bila kita ingin menjadi lebih baik, ujian akan datang dari setiap penjuru, dengan pelbagai cara. Terkadang rasa nak mengalah pun ada. Allah, kuatkah kami menghadapinya?

Saya tak harap anda semua memandang saya baik. Berhati mulia. Atau muslimah sejati acuan Islam. Kerana Allah saja yang Maha Mengetahui siapa saya sebenarnya. Apa yang saya pakai, apa yang saya cakap, dan apa saja yang saya buat, Allah sahaja yang boleh menilai. Bukan saya, bukan anda semua.

Jadi, jangan pernah mengutuk saya, apatah lagi memuji saya. Kerana keduanya mampu mengheret saya ke Neraka. Tempat yang kita semua tak membayangi sakit dan peritnya. Kerana bila anda mengutuk saya, bimbang saya akan membalasnya. Bila anda memuji saya, anda bisa membuat saya lupa siapa yang patut dipuji sebenarnya.

La'ilaha illallah. Muhammad ya Rasulullah.

p/s: moga setiap hari kita menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. bukan hanya pada tahun baru. bukan hanya pada tarikh atau peristiwa tertentu.

4 comments:

  1. like your post. sangat tenang nak baca. thanks for sharing

    ReplyDelete
  2. Menjadi baik mungkin mudah.Mahu kekal dalam kebaikan itu yang payah.

    Kerana kita bukan semulia Malaikat.
    Selamat diuji.Tanda Allah sayang dan sedang tarbiyyah kita.

    Semoga dalam jagaaan Allah selalu,dik. =)

    ReplyDelete
  3. Kenalilah diri, maka kamu akan mengenal Allah. Yang penting kita ikhlas dalam pekerjaan dan perbuatan kita. Jangan hiraukan siapa yang berkata,tetapi fikirkan apa yang dikatakan. Adakalanya setiap teguran atau sindiran itu, adalah ilmu kepada kita.

    Oleh itu kuatkan semangatmu dan ucapkan alhamdulillah di dalam hati, kerana Allah tahu apa yang ada di dalam hati anda.

    Ya Salam, Ya Somad

    ReplyDelete
  4. penulisan anda sgt rendah diri... saya suka.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...