05 April 2010

Teman tapi mesra .

Ungkapan ini sering kedengaran di bibir anak muda , tetapi kadangkala mengelirukan bagi sesetengah pihak , namun yang pasti ia merujuk kepada perhubungan antara lelaki dan perempuan .

Berkawan tidak salah , bahkan digalakkan kerana ia selaras dengan fitrah dan membawa banyak manfaat sehinggakan dapat membuatkan hidup lebih ceria . Cuma , berwaspada apabila kawan lebih daripada had , terlalu rapat dan intim , malah sanggup mengorbankan harga diri .

Justeru , Islam menasihati umatnya sentiasa memelihara kesopanan dan tata cara sepanjang masa , terutama apabila bersosial dan berkawan , supaya kebaikan terjaga .

Ulama tersohor , Sheikh Yusuf Al-Qaradawi , berkata hubungan di antara lelaki dan wanita tidak ditolak secara keseluruhan . Bagaimanapun , beliau menggariskan beberapa syarat hubungan di antara kedua-dua jantina terbabit , dengan saling merendahkan pandangan dan memastikan tiada pandangan yang disusuli nafsu . Menurutnya , wanita Islam juga patut prihatin terhadap kod pakaian Islam , yang menutupi seluruh badan , tidak ketat dan menggambarkan bentuk badan .

“Akhlak yang umum sepatutnya diamalkan . Dalam perkataan lain , seorang wanita sepatutnya serius dalam ucapan dan tertib cara berjalan dan melawan godaan syaitan . Tiada wangian dipakai dari rumah . ”

Nabi s.a.w bersabda , maksudnya : “Mana-mana wanita yang memakai wangian dan kemudian berjalan melalui sekumpulan lelaki dan mereka mencium wangian itu , dia adalah penzina .”

Al-Qaradawi juga berkata ,  lelaki dan wanita (bukan mahram) tidak dibenarkan bersama di satu tempat yang tiada lelaki lain . Bagaimanapun , perkembangan mutakhir mendapati fenomena memiliki teman istimewa kian menjadi-jadi , seolah-olah ia suatu kebiasaan .

Namun , apabila teman terbabit berkelakuan di luar jangkaan , timbullah keburukan, malah bagi pelajar prestasi pelajaran merosot , selera makan menurun , bahkan untuk hidup pun tidak bersemangat .

Bekas Presiden Masyarakat Islam Amerika Utara (ISNA) , Dr Muzammil Siddiqi , berkata Muslim memang sepatutnya mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang , lelaki dan wanita , di sekolah , tempat kerja dan kawasan kejiranan .

“ Tetapi Islam tidak membenarkan mengambil orang bukan mahram sebagai kawan rapat kerana hubungan seperti itu kerap membawa perkara haram . “ Ini memungkinkan mereka melakukan dosa atau menghabiskan banyak masa bersama ,” katanya sambil mengemukakan ayat 25 Surah an-Nisa sebagai satu hujah atas dakwaan berkenaan .

Perhubungan intim yang membawa kepada pertemuan sosial atau ‘dating’ boleh mengundang pelbagai mala petaka , seperti rogol , pembunuhan dan persundalan . Fenomena itu mula bercambah ketika muzik Barat mula memekik dari kereta dan pasangan muda berpegangan tangan di kafeteria . Malah , seks sebelum perkahwinan menjadi suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi sejak era revolusi seks 1960-an .

Jurnal Persatuan Perubatan Amerika ada melaporkan , peningkatan bilangan gadis mengadakan pertemuan sosial , berisiko berdepan dengan kekejaman , hamil , penderaan , bahaya tingkah laku seksual dan membahayakan diri . Berikutan itu , ramai di kalangan gadis menderita secara senyap , tidak memberitahu sesiapa kerana takut atau malu .

Oleh itu Islam menasihati umatnya berwaspada apabila bersosial dan jangan sampai merugikan diri dan keluarga . Hakikatnya berkawan tidak salah tetapi jika melanggar nilai agama lebih-lebih lagi bertemu dan berdua-duaan , ia dilarang sama sekali .

Sheikh Ahmad Kutty, dari Institut Islam Toronto , Kanada , berkata pertemuan sosial tentu tidak dibenarkan . Menurutnya , Islam melarang umatnya berdua-duaan dengan pasangan berlainan jantina kecuali hubungan persaudaraan atau perkahwinan .

“Tidak dibenarkan menurut kehendak nafsu secara bebas , bergaul sembarangan dan bercampur dengan kawan berlainan jantina ,” katanya .
Nabi Muhammad s.a.w menegaskan : “Apabila seorang lelaki dan wanita duduk bersama mereka ditemani teman ketiga (yang membisikkan kejahatan kepada mereka) .”

Katanya , Allah memerintahkan kita bukan saja menahan diri daripada zina tetapi menjauhi daripadanya .
“Menurut hukum ahli fiqah , perkara yang membawa kepada haram juga diputuskan haram . Justeru , apabila pertemuan sosial itu membawa kepada dosa , ia diputuskan haram .

“Jika untuk mengetahui wanita terbabit bagi tujuan perkahwinan , ia dibenarkan tetapi tertakluk kepada etika Islam ,” katanya.



p/s : theres a lot of people ; same gender in this world that we can make friend with . If there're not , maybe you have no gender at all i guess . =)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...