18 April 2010

Buat apa pakai tudung ?

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram , bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya , malah maruah wanita mukmin keseluruhannya . Harga diri wanita terlalu mahal . Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki .

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian , ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci . Begitu juga diumpamakan dengan wanita , kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum . Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak .

Alhamdulillah dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung . Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan . Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat .

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai , namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna . Masih lagi menampakkan batang leher , dada dan sebagainya . Ada yang memakai tudung , tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya .

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini . Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung . Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah , sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita . Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya , malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita . Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita , dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya . Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab .

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias , maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung , tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri . Sombong makin bertambah . Jalan mendabik dada . Terasa tudung kitalah yang paling cantik , up-to-date , sofistikated , bergaya , ada kelas dan sebagainya . Bertudung , tapi masih ingin bergaya .

Kesimpulannya , tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan . Kita tidak merasakan diri ini hina , banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia . Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan .

Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung ? Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang . Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas . Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya . Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina , khalwat dan sebagainya .

Nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini . Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam . Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung . Lebih baik tidak bertudung . Mereka rasa lebih bebas lagi .

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam . Walaupun bertudung , perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam . mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka . Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain .

Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam . Kita sebenarnya pendakwah Islam . Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian . Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung . Aurat , wajib ditutup tapi dalam masa yang sama , perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa . Tudung di luar tudung di dalam (hati) . Buang perangai suka mengumpat , berdengki , berbangga , ego , riak dan lain-lain penyakit hati .

Walau apapun , kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim . Samada baik atau tidak akhlak mereka , itu adalah antara mereka dengan Allah . Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung , namun tetap berbuat kemungkaran . Berbuat kemungkaran adalah satu dosa , manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain .

Kalau sudah mula menutup aurat , elak-elaklah diri dari suka bertengka r. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur . Sentiasa bermanis muka . Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan . Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki . Serahkan pada Allah tentang jodoh .

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain . Cuba jangan tinggal sembahyang . Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut . Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi . Buang sikap suka mengumpat , suka mengeji dan mengata hal orang lain . Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam . Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah . Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam .

Dengan ini , orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui  "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya . Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian , kita mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian .  =)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...