29 March 2010

Malulah kita semua.

Malu mempunyai pengertian yang besar dalam islam . Sifat malu adalah sebahagian daripada iman . Mereka yang telah hilang sifat malu adalah orang yang tipis imannya . Ini kerana malu dan iman berjalan beriringan . Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang .

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw ada bersabda bermaksud : "Iman itu ada lebih 60 cabang . Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman ."

Malu atau haya dalam bahasa arab berasal daripada perkataan hayat yang bermaksud kehidupan . Ia mencakupi sifat malu , memelihara aib diri dan orang lain , kesopanan , harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah .

Islam menggariskan sifat malu itu perlu ada pada diri setiap muslim sebagai perisai kepada orang yang beriman setiap kali hendak melakukan pekerjaan atau perbuatan dosa . Mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan hari kiamat adalah mereka yang mempunyai sifat malu yang teramat sangat setiap kali ingin membuat dosa , biarpun ia bukanlah sesuatu yang disengajakan .

Rasulullah mengajar umat Islam mengenai perkara pentingnya seseorang menghiasi dirinya dengan sifat malu . Dan betapa malunya seorang yang bergelar muslim tetapi tidak mempunyai sifat malu sebagai hamba kepada Allah .

Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah berjalan melintasi seorang pemuda yang memarahi saudara lelakinya yang sangat pemalu . "engkau seorang yang sangat pemalu dan aku bimbang sifat malumu itu akan memusnahkan dirimu" . Mendengar kata-kata lelaki itu, Rasulullah bersabda , "Tinggalkanlah ia , kerana sifat pemalu itu sebahagian daripada iman" . (Bukhari)

Kedua-dua hadis diatas membuktikan bahawa sifat pemalu bukan dikhususkan untuk kaum wanita tetapi mesti ada pada kaum lelaki yang beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat . Sifat pemalu adalah lambang taqwa (takutkan Allah) dan lambang ketinggian iman seseorang Muslim itu .

MALU PADA KAUM WANITA .

Kemodenan hari ini banyak merubah cara kaum wanita Islam kita dalam cara berpakaian . Ramai yang megenakan seluar ketat , mendedahkan bahagian perut dan pusat , berpakaian menjolok mata dan tidak mahu memakai tudung sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah . Ramai yang sudah hilang malu , menonjolkan diri untuk memancing pandangan semua orang . Ini termasuklah bebas berdua-duaan bersama-sama pasangan yang bukan muhrim mereka . Pandangan seperti ini sudah menjadi perkara biasa di negara ini atau di mana-mana jua .

Seorang muslimah yang patuh kepada perintah Allah dan RasulNya tidak akan menggadaikan maruah diri semata-mata mahu nampak moden dan mengikut perkembangan semasa . Wanita wajib malu mendedahkan diri mereka kepada lelaki yang boleh dikahwini dan ditengah-tengah masyarakatnya . Malu seorang wanita itu datang daripada sifat malu kerana takutkan Allah .

Begitu juga dengan kes-kes sumbang mahram yang amat memalukan kita khususnya umat Islam . Perbuatan ini amat hina kerana sanggup menodai dan memakan darah daging sendiri yang sepatutnya adalah amanah Allah kepada bapanya , abang datuk dan bapa saudara memelihara kehormatannya .

Dalam satu hadis yang diriwayatkanoleh Abdullah Ibn Umar , Rasulullah saw bersabda :
"Sifat malu dan iman itu seiringan . Jika salah satu ditinggalkan , maka kedua-duanya akan hilang ."(Baihaqi)

Sifat malu dan memelihara kehormatan seseorang ini amat penting dan sangat dititikberatkan dalam Islam . Malu adalah perhiasan dan perisai kepada lelaki dan wanita yang percayakan ada pembalasan pada hari akhirat . Perisai inilah yang menghalang mereka daripada terjerumus melakukan dosa dan noda , zahir dan batin .

Hadis riwayat Anas bin Malik,Rasullullah saw bersabda :

"Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya , ia akan menjadi keburukan , dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah ."(Tirmidhi)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...